Si lelaki tua memulakan ceritanya.
Dengan menyebut Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang.
Diikuti dengan terjemahan ayat suci al-Quran dari surah al-Rum ayat 21.
Allah S.W.T. berfirman maksudnya:
“Dan di antara tanda-tanda kekuasaan-Nya ialah Dia menciptakan untuk mu isteri-isteri dari jenis mu sendiri, supaya kamu cenderung dan merasa tenteram kepadanya, dan dijadikan-Nya di antara mu rasa kasih sayang. Sesungguhnya pada yang demikian itu benar-benar terdapat tanda-tanda bagi kaum yang berfikir.”
Nak dijadikan cerita, satu hari si lelaki tua berjalan dan dia terdengar luahan hati seorang pemuda.
“Aku telah jatuh cinta, hingga aku mabuk dengan arak yang bernama rindu. Aku ingin rasanya bebas dari perasaan ini, namun aku tidak terdaya. Aku menyangka lautan rindu tak dalam, rupa-rupanya setelah aku masuk ke dalamnya, aku terus tenggelam.”
Matanya berlinangan dengan airmata.
Si lelaki tua tersenyum, lalu merapati pemuda tersebut lantas berkata:
“Wahai pemuda, adakah engkau tahu bahawa Hamka telah berkata, cinta itu adalah perasaan yang mesti ada pada tiap-tiap diri manusia. Ia laksana setitis embun yang turun dari langit, bersih dan suci. Cuma tanahnyalah yang berlainan menerimanya. Jika ia jatuh ke tanah yang tandus, tumbuhlah oleh kerana embun itu kedurjanaan, kedustaan, penipu, langkah serong dan lain-lain perkara yang tercela. Tetapi jika dia jatuh kepada tanah yang subur, di sana akan tumbuh kesucian hati, keikhlasan, setia budi pekerti yang tinggi dan lain-lain perangai yang terpuji.”
“Wahai cucuku, Hamka juga telah berkata, cinta bukan mengajar kita lemah, tetapi membangkitkan kekuatan. Cinta bukan mengajar kita menghinakan diri, tetapi menghembuskan kegagahan. Cinta bukan melemahkan semangat, tetapi membangkitkan semangat.”
“Anakku, janganlah engkau kecewa. Manusia adalah sama. Dikurniakan Tuhan perasaan cinta. Tapi gunakanlah rindu dan cinta untuk mendapat Cinta Yang Agung. Tiada cinta yang paling agung melainkan cinta pada Pencipta Cinta.”
“Anakku, cinta akan wanita itu adalah lumrah. Tapi berhati-hatilah dengan cinta dunia. Sesungguhnya Malik bin Dinar pernah berkata, apabila badan sakit, makan dan minum sulit untuk ditelan, istirehat dan tidur juga tidak nyaman. Demikian juga hati, bila telah dibelenggu dengan cinta dunia, maka nasihat susah untuk memasukinya.”
Airmatanya berhenti mengalir. Dia seolah-olah berfikir.
.
Si lelaki tua merenung pemuda tersebut. Terdetik di hatinya:
Seorang Pemuda…
Juga Seorang Manusia…
Mudah Menerima Nasihat…
Jika Diberi Dengan Hikmah Dan Kebijaksanaan…
Tiada ulasan:
Catat Ulasan