Sabtu, 5 Februari 2011

Rintihan Hati Rabiatul Adawiyah

“Ya Allah, ya Tuhanku, Aku berlindung diri kepada Engkau daripada segala yang ada yang boleh memesongkan diri daripada-Mu, daripada segala pendinding yang boleh mendinding antara aku dengan Engkau.”


“Tuhanku! bintang-bintang telah menjelma indah, mata telah tidur nyenyak, semua pemilik telah menutup pintunya dan inilah dudukku di hadapan-Mu.”


“Tuhanku! Tiada kudengar suara binatang yang mengaum, tiada desiran pohon yang bergeser, tiada desiran air yang mengalir, tiada siulan burung yang menyanyi, tiada nikmatnya teduhan yang melindungi, tiada tiupan angin yang nyaman, tiada dentuman guruh yang menakutkan melainkan aku dapati semua itu menjadi bukti Keesaan-Mu dan menunjukkan tiada sesuatu yang menyamai-Mu.”


“Sekelian manusia telah tidur dan semua orang telah lalai dengan kenikmatan tidur. Yang tinggal hanya Rabi’ah yang banyak kesalahan di hadapan-Mu. Maka moga-moga Engkau berikan suatu pandangan kepadanya yang akan menahannya daripada tidur supaya dia dapat berkhidmat kepada-Mu.”


“Tuhanku! Engkau akan mendekatkan orang yang dekat di dalam kesunyian kepada keagungan-Mu. Semua ikan di laut bertasbih di dalam lautan yang mendalam. Dan kerana kebesaran kesucian-Mu, ombak di laut bertepukan. Engkaulah Tuhan yang sujud kepada-Nya malam yang gelap, siang yang terang, falak yang bulat, bulan yang menerangi, bintang yang berkerdipan dan setiap sesuatu di sisi-Mu dengan takdir, sebab Engkaulah Tuhan Yang Maha Tinggi lagi Maha Perkasa.”


“Wahai Tuhanku! Malam yang akan pergi dan siang pula akan mengganti. Wahai malangnya diri! Apakah Engkau akan menerima malamku ini supaya aku berasa bahagia ataupun Engkau akan menolaknya maka aku diberikan takziah? Demi kemuliaan-Mu, jadikanlah caraku ini kekal selama Engkau menghidupkan aku dan bantulah aku di atasnya. Demi kemuliaan-Mu, jika Engkau menghalauku daripada pintu-Mu itu, nescaya aku akan tetap tidak bergerak juga dari situ disebabkan hatiku sangat cinta kepada-Mu.”


“Perkahwinan itu memang perlu bagi sesiapa yang mempunyai pilihan. Adapun aku tiada mempunyai pilihan untuk diriku. Aku adalah milik Tuhanku dan di bawah perintah-Nya. Aku tidak mempunyai apa-apa pun.”


“Ya Tuhanku! Tenggelamkanlah aku di dalam kecintaan-Mu supaya tiada suatupun yang dapat memalingkan aku daripada-Mu.”


“Wahai Tuhanku! Apakah Engkau akan membakar dengan api hati yang mencintai-Mu dan lisan yang menyebut-Mu dan hamba yang takut kepada-Mu?”


“Jika aku menyembah-Mu kerana takut daripada api neraka-Mu maka bakarlah aku di dalamnya! Dan jika aku menyembah-Mu kerana tamak kepada syurga-Mu maka haramkanlah aku daripadanya! Tetapi jika aku menyembah-Mu kerana kecintaanku kepada-Mu maka berikanlah aku balasan yang besar, berilah aku melihat wajah-Mu yang Maha Besar dan Maha Mulia itu.”

Rabu, 19 Januari 2011

Si Lelaki Tua



Si lelaki tua memulakan ceritanya.

Dengan menyebut Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang.
 
Diikuti dengan terjemahan ayat suci al-Quran dari surah al-Rum ayat 21.

Allah S.W.T. berfirman maksudnya:

Dan di antara tanda-tanda kekuasaan-Nya ialah Dia menciptakan untuk mu isteri-isteri dari jenis mu sendiri, supaya kamu cenderung dan merasa tenteram kepadanya, dan dijadikan-Nya di antara mu rasa kasih sayang. Sesungguhnya pada yang demikian itu benar-benar terdapat tanda-tanda bagi kaum yang berfikir.”


Nak dijadikan cerita, satu hari si lelaki tua berjalan dan dia terdengar luahan hati seorang pemuda.

Aku telah jatuh cinta, hingga aku mabuk dengan arak yang bernama rindu. Aku ingin rasanya bebas dari perasaan ini, namun aku tidak terdaya. Aku menyangka lautan rindu tak dalam, rupa-rupanya setelah aku masuk ke dalamnya, aku terus tenggelam.”


Matanya berlinangan dengan airmata.

Si lelaki tua tersenyum, lalu merapati pemuda tersebut lantas berkata:

“Wahai pemuda, adakah engkau tahu bahawa Hamka telah berkata, cinta itu adalah perasaan yang mesti ada pada tiap-tiap diri manusia. Ia laksana setitis embun yang turun dari langit, bersih dan suci. Cuma tanahnyalah yang berlainan menerimanya. Jika ia jatuh ke tanah yang tandus, tumbuhlah oleh kerana embun itu kedurjanaan, kedustaan, penipu, langkah serong dan lain-lain perkara yang tercela. Tetapi jika dia jatuh kepada tanah yang subur, di sana akan tumbuh kesucian hati, keikhlasan, setia budi pekerti yang tinggi dan lain-lain perangai yang terpuji.”

“Wahai cucuku, Hamka juga telah berkata, cinta bukan mengajar kita lemah, tetapi membangkitkan kekuatan. Cinta bukan mengajar kita menghinakan diri, tetapi menghembuskan kegagahan. Cinta bukan melemahkan semangat, tetapi membangkitkan semangat.”

“Anakku, janganlah engkau kecewa. Manusia adalah sama. Dikurniakan Tuhan perasaan cinta. Tapi gunakanlah rindu dan cinta untuk mendapat Cinta Yang Agung. Tiada cinta yang paling agung melainkan cinta pada Pencipta Cinta.”

“Anakku, cinta akan wanita itu adalah lumrah. Tapi berhati-hatilah dengan cinta dunia. Sesungguhnya Malik bin Dinar pernah berkata, apabila badan sakit, makan dan minum sulit untuk ditelan, istirehat dan tidur juga tidak nyaman. Demikian juga hati, bila telah dibelenggu dengan cinta dunia, maka nasihat susah untuk memasukinya.”


Airmatanya berhenti mengalir. Dia seolah-olah berfikir.
.
Si lelaki tua merenung pemuda tersebut. Terdetik di hatinya:

Seorang Pemuda…
Juga Seorang Manusia…
Mudah Menerima Nasihat…
Jika Diberi Dengan Hikmah Dan Kebijaksanaan…